KARNIVAL PENDIDIKAN KAUNSELING KERJAYA NEGERI JOHOR TAHUN 2008

July 18, 2008 on 6:30 pm | In Koakademik | Comments Off

Karnival Pendidikan Kaunseling Kerjaya merupakan pentas mencungkil potensi pelajar dalam memahami pendidikan kaunseling yang wujud di sekolah-sekolah. Melalui karnival ini, ianya telah menjadi platform kepada pelajar untuk diasuh dan dididik untuk mencari sumber, mengolah , menganalisis , meneroka maklumat , menyampaikan, dan seterusnya menterjemahkan penerokaan mereka dalam bidang kerjaya masing-masing pada masa akan datang. Karnival Sains dan Teknologi - Pendidikan Kaunseling Kerjaya yang telah dilaksanakan di peringkat sekolah, daerah, negeri dan kebangsaan pada tahun-tahun sebelumnya telah berjaya meningkatkan tahap pengetahuan berinformasi murid-murid dan pelajar-pelajar mengenai kerjaya dalam bidang sains dan teknologi . Karnival ini diteruskan dengan memantapkan lagi aktiviti-aktiviti yang dijalankan untuk memberi impak yang lebih ketara dan penglibatan murid-murid yang lebih menyeluruh. Rasional Karnival ini dilaksanakan ialah murid-murid dan pelajar-pelajar merupakan aset dan sumber manusia untuk masa depan negara yang perlu dibangunkan sesuai dengan kehendak dan keperluan negara. Kekuatan dalaman murid-murid seperti daya juang, ketahanan dan keyakinan diri serta daya saing boleh dipupuk secara positif melalui Karnival Pendidikan Kaunseling Kerjaya yang terancang dan bersepadu. Memberi peluang kepada para peserta menerokai, mengalami, mengumpul dan menyebar maklumat tentang satu-satu kerjaya dalam sains dan teknologi kepada bentuk mudah guna, menarik, kreatif dan inovatif. Peserta-peserta boleh disandarkan kepada seorang atau lebih peserta untuk tempoh dua atau lebih hari telah menjadi matlamat penganjuran karnival ini. Terdapat beberapa objektif yang telah dikenalpasti iaitu mempertingkatkan lagi pengetahuan dan maklumat kerjaya dalam sains dan teknologi kepada murid-murid di peringkat sekolah, daerah, negeri dan kebangsaan.Seterusnya ialah untuk menggalakkan penyertaan murid-murid dalam proses pembelajaran dan pengajaran berkaitan sesuatu kerjaya melalui kegiatan di luar bilik darjah dan untuk mencungkil dan menyuburkan bakat serta potensi yang ada di kalangan murid-murid ke arah perkembangan yang lebih positif dan membina. Kumpulan sasaran bagi karnival ini terbahagi kepada 3 kategori iaitu Murid sekolah rendah (Tahap 2), Murid sekolah menengah rendah dan / atau atas dan Pembimbing Rakan Sebaya.

Kemudahan Makanan dan Penginapan KPKK Johor 2008

July 18, 2008 on 6:00 pm | In Koakademik | No Comments

SEGAMAT-Karnival Pendidikan Kaunseling Kerjaya (KPKK) Peringkat Negeri Johor 2008 yang berlangsung baru-baru ini menyediakan kemudahan penginapan dan makanan untuk peserta, guru pengiring, hakim dan pemandu. Untuk 18 Julai 2008, semua peserta disajikan makanan petang pada pukul 4.30 sehingga 5.30 petang, makan malam pada 6.30 petang sehingga 7.30 malam dan minum malam pada pukul 11.00 malam. Masing-masing boleh mendapatkan makanan di dewan makan tempat penginapan masing-masing. Bagi peserta-peserta yang datang dari Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang dan Kulai mereka boleh mendapatkan makanan di Dewan Makan SMK Agama Segamat mengikut tempat masing-masing. Manakala bagi peserta-peserta yang datang dari Mersing, Kota Tinggi, Johor Bahru, Pontian dan Pasir Gudang, mereka boleh mendapatkan makanan di Dewan Makan SM Teknik Segamat. Pada 19 Julai 2008 pula, peserta-peserta disajikan makanan pagi seawal pukul 7.00 pagi sehingga 8.00 pagi dan makanan tengah hari pula pada pukul 1.30 petang.

   

Hari Guru Bukan Untuk Guru Sahaja

May 24, 2008 on 1:17 pm | In Hari Guru | No Comments

YB Datuk Haji Baharum bin Haji Mohamed“Hari Guru sebenarnya mengingatkan ‘murid-murid tua’ (atau sesiapa saja yang pernah bergelar murid) bahawa sumbangan guru-guru amat tinggi darjatnya dalam membangunkan masyarakat,” ujar YB Datuk Haji Baharum bin Haji Mohamed ketika berucap merasmikan Sambutan Perayaan Hari Guru 2008 Peringkat Daerah Segamat yang diadakan di SMKA Segamat. Beliau yang juga Pengerusi UDA Holding Berhad menambah bahawa tugas guru amat penting dalam pembangunan negara dari dulu hingga kini.

“Dahulu, selain mendidik anak bangsa, guru juga bertindak sebagai agen atau golongan yang memperjuangkan kemerdekaan. Tetapi kini kemerdekaan itu perlu pengisiannya”

Datuk Haji Baharum menambah lagi, “kita sedar bahawa seseorang anak adalah di bawah tanggungjawab ibu bapa untuk mencorakkan keperibadian yang baik. Tetapi oleh kerana kekangan masa dan kerja; waktu siang anak-anak lebih banyak bersama guru berbanding kedua ibu dan bapa. Secara tidak langsung guru-guru turut bertanggungjawab mencorakkan keperibadian tersebut.”

“…dan kerana itu, guru mempunyai tugas yang tidak kurang pentingnya terhadap pembangunan insan dan pembangunan negara.”

Datuk Haji Baharum yang pernah menjadi guru sandaran di Segamat mengakui bahawa tugas seorang guru amat berat; dan menyedari hakikat tersebut beliau amat bersetuju dengan pengumuman Perdana Menteri mengenai enam permintaan yang telah diluluskan Kerajaan Malaysia.

PM umum 6 insentif perkasa profesion perguruan

May 16, 2008 on 8:10 pm | In Akhbar, Berita Harian | No Comments

MELAKA: Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengumumkan enam insentif bagi memperkasa profesion perguruan di negara ini. 

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Hari Guru peringkat kebangsaan ke-37 di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini, petang ini.
Antara insentif itu ialah kerajaan setuju mengambil kira pengalaman guru bukan siswazah (DGA29) untuk kenaikan gred dalam skim siswazah iaitu DG41 hingga DG44. 

Kerajaan juga setuju meluluskan cadangan guru gred DG41 dari skim bukan siswazah dan memegang jawatan guru besar untuk kenaikan pangkat ke gred DG44 selepas tiga tahun berkhidmat dalam jawatan itu.

UiTM Johor, PPD Segamat jalin kerjasama

May 15, 2008 on 4:12 pm | In Akhbar, Utusan Malaysia | No Comments

SEGAMAT 15 Mei - Universiti Teknologi Mara (UiTM) Johor bersedia menjalinkan hubungan kerjasama dengan mana-mana agensi dan jabatan kerajaan bagi memastikan setiap kakitangannya dapat bertukar-tukar pengalaman ke arah mewujudkan sistem pendidikan yang lebih sempurna.

Pengarah UiTM Johor, Prof. Dr. Muhd. Kamil Ibrahim berkata, hubungan kerjasama dalam pelbagai bidang itu mampu memberi kesan positif bukan sahaja kepada kakitangan UiTM malah kepada kakitangan agensi serta jabatan yang terlibat.

Katanya, Program Memperkasakan Sudut Bestari yang dianjurkan hari ini adalah contoh hubungan kerjasama UiTM dan agensi kerajaan untuk membentuk sudut bacaan di pusat sumber kedua-dua pihak secara lebih tersusun.

Beliau berkata, kerjasama yang terjalin membuktikan komitmen UiTM untuk mendekatkan diri dengan masyarakat setempat dan bersama-sama berusaha melaksanakan aktiviti bukan sahaja yang berbentuk keilmuan malah juga berbentuk kemasyarakatan.

“UiTM sentiasa mengamalkan dasar buka pintu untuk menjalinkan hubungan kerjasama dengan mana-mana agensi kerajaan dengan matlamat kedua-dua pihak mampu memperoleh manfaat menerusi hubungan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Memperkasa Sudut Bestari anjuran bersama Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Segamat dan Fakulti Pengurusan Maklumat UiTM Johor di pejabat PPD itu di sini hari ini.

Turut hadir Pegawai Pelajaran Daerah Segamat, Md. Esa Sudir serta pegawai UiTM Johor dan PPD.

Program itu diadakan bagi meningkatkan hubungan kerjasama antara PPD Segamat dan UiTM Johor.

Antara perancangan Sudut Bestari itu ialah menjadikan sekolah-sekolah di daerah ini dapat merealisasikan budaya ilmu melalui penyediaan pusat-pusat sumber yang kondusif dan mudah digunakan.

Selain itu, program itu juga dapat menggerakkan kerjasama warga PPD dan UiTM Johor melaksanakan pelbagai aktiviti, mempromosi dan menyusun atur bahan bacaan ke arah peningkatan kecemerlangan pusat sumber sebagai tempat rujukan ilmu.

Menerusi program itu, Fakulti Pengurusan Maklumat UiTM Johor akan menjadi mentor kepada PPD Segamat dan sekolah-sekolah di daerah ini ke arah membangunkan perkhidmatan, program dan aktiviti pusat sumber.

Muhd. Kamil berkata, program itu turut mampu meningkatkan kesedaran warga pendidikan terhadap kepentingan membangunkan budaya ilmu, budaya membaca dan budaya intelek secara bersama.

Bagi pihak PPD Segamat pula, katanya, Sudut Bestari itu mampu menjadi ikon untuk memperkasa pusat-pusat sumber sekolah di daerah ini secara lebih menyeluruh dan sebagai pusat kecemerlangan ilmu yang mudah diakses.

Sementara itu, Md. Esa dalam ucapannya berkata, PPD Segamat merupakan satu-satunya PPD yang mempunyai sudut bestarinya sendiri, dilengkapi pelbagai maklumat untuk keperluan guru-guru.

“Dengan adanya kerjasama ini, ia akan mewujudkan satu perkongsian pintar antara PPD Segamat dan UiTM Johor melalui kerjasama secara terancang serta sumbangan daripada segi kepakaran dan khidmat nasihat,” katanya.

Next Page »

Powered by WordPress with Pool theme design by Borja Fernandez. Maintained by Villosa Marketing And Design [JM0433751-U].
Entries and comments feeds. Valid XHTML and CSS. ^Top^